PERANGKAP SANG TIKUS

2011-03-09


Di sebuah ladang, hidup sekawan haiwan yang diketuai oleh Sang Lembu. Pada suatu hari, Sang Tikus terlihat petani ladang membawa pulang bungkusan. Menyangkakan yang dibawa pulang itu makanan, maka Sang Tikus menghendap si suami dan si isteri. Kebetulan, mereka sedang membuka bungkusan tersebut..

"Wah makanan! Makanan! Rezeki aku la nampaknya hari ini!
Makanan apa agaknya yang ada dalam bungkusan itu ya..?"

Alangkah terkejutnya Sang Tikus apabila mendapati petani tersebut mengeluarkan sebuah perangkap tikus dari dalam bungkusan tersebut.

"Mati aku! Mati!"

Jerit kata hati Sang Tikus sambil pulang ke ladang. Hajatnya mahu meminta bantuan rakan-rakannya yang lain.

"Ada perangkap tikus dalam rumah! Ada perangkap tikus dalam rumah!"

Sang Ayam yang terdengar jeritan segera menjawab..


"Sang Tikus, saya tahu ia merupakan masalah bagi kamu. Tetapi ia bukan masalah kepada saya."

Sang Tikus amat sedih mendengar jawapan Sang Ayam. Dia segera memberitahu Sang Kambing..

"Sang Kambing! Ada perangkap tikus dalam rumah!"

Sang Kambing tergelak melihat gelagat Sang Tikus. Dia pun berkata..

"Saya minta maaf Sang Tikus. Tiada apa yang dapat saya lakukan. Perangkap tikus itu tidak memberi kesan kepada saya yang lebih besar dari kamu."

Mendengar sindiran Sang Kambing, Sang Tikus mengadu pula kepada Sang Lembu..

"Saya amat bersimpati ke atas nasib kamu wahai rakanku Sang Tikus. Begini, saya akan bermesyuarat dengan rakan-rakan kita yang lain untuk menyelesaikan masalah ini."

Sang Tikus amat teruja dengan jawapan Sang Lembu. Dia pun berkata..

"Sungguh baik hati kamu wahai Sang Lembu. Amat sesuai kamu menjadi ketua kami. Akan tetapi, bilakah kamu semua akan bermesyuarat tentang masalah saya ini?"

Sang Lembu lalu menjawab..

"Mungkin Esok.."

Keesokan harinya, Sang Tikus mendapati petani telah memasang perangkap itu di dalam rumahnya. Dengan nada cemas, dia memaklumkan perkara itu kepada Sang Lembu..

"Sang Lembu! Sang Lembu! Perangkap Tikus sudah dipasang!"

Sang Lembu termenung panjang memandang Sang Tikus. Melihat tiada jawapan, Sang Tikus bertanya lagi..

"Bila kamu semua mahu mencari cara penyelesaian kepada masalah saya ini?"

Sang Lembu lalu menjawab..

"Esok.. kerana kami ada urusan masing-masing yang perlu diselesaikan pada hari ini."

Dengan sabar Sang Tikus menunggu sehingga hari esok. Dia mula kelaparan kerana tidak berani memasuki rumah petani tersebut untuk mencari makanan..

"Sang Lembu, saya pohon kepada kamu, tolonglah saya untuk mencari jalan penyelesaian.."

Sang Lembu dengan malasnya menjawab..

"Baiklah, kami akan berbincang. Tetapi.. bukan hari ini.. mungkin esok. Akan tetapi, kami akan sentiasa berdoa untuk keselamatan kamu wahai rakanku"

Dengan penuh kehampaan, Sang Tikus pulang kesarangnya.

Pada malam tersebut, ketika semua sedang diulit mimpi...

PAP!

Bunyi perangkap tikus mengenai sasaran..

Si Isteri segera bangun untuk melihat Sang Tikus yang sudah lama didendaminya..

Akibat gelap, dia tidak perasan bahawa yang tertangkap itu adalah seekor ular berbisa. Malangnya nasib Si Isteri kerana dia telah dipatuk ular tersebut.

Keesokan harinya, Si Isteri dijangkiti demam. Untuk meredakan demamnya, Si Petani telah menyembelih Sang Ayam untuk dibuat sup.

Sang Lembu amat terkejut dengan kejadian tersebut. Dia mula sedar akan kesilapannya tidak mengendahkan masalah Sang Tikus. Maka dia mula mengadakan mesyuarat bersama Sang Kambing untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah Sang Tikus.

"Kasihan Sang Tikus, dia lapar kerana tidak dapat mencari makanan di dalam rumah Si Petani. Ini semua gara-gara perangkap tikus itu. Kerana perangkap tikus itu jugalah Sang Ayam disembelih."

Sang Kambing membalas..

"Apa yang mahu dirisaukan? Ini semua suratan takdir. Jika sudah sampai ajalnya, kita tidak boleh berbuat apa-apa."

Sang Lembu meningkah..

"Saya percaya dengan suratan takdir. Akan tetapi, masalah Sang Tikus perlu juga kita selesaikan. Agar tidak tekorban satu lagi nyawa akibat perangkap tikus."

Sang Kambing membalas dengan bersahaja..

"Lah, itu bukan masalah kita. Kita sudah membantu apa yang termampu."

Sang Lembu bertanya dengan penuh kehairanan..
"Apa yang kita bantu?"

Jawab Sang Kambing..

"Cukuplah dengan doa dan harapan agar Sang Tikus selamat.."

Perbincangan mereka menemui jalan buntu..

Akhirnya Si Isteri meninggal dunia. Untuk menjamu jiran tetangga yang datang, ke majlis pengkebumian isterinya, Si Petani telah menyembelih Sang Kambing.

Maka hiduplah Sang Lembu keseorangan sambil memikirkan nasibnya kelak. Entah esok, entah lusa, dirinya pula akan dikorbankan.

Sang Tikus pula masih dibelenggu ketakutan. Dirinya semakin lemah dan hanya menunggu ajal datang menjemput.


Cerita di atas menggambarkan betapa goyahnya kita sebagai umat Islam.

Sang Lembu adalah Malaysia yang merupakan ketua kepada negara-negara Islam (OIC)

Sang Ayam pula adalah negara-negara Islam yang tidak mengendahkan semangat persaudaraan.

Sang Kambing pula adalah negara-negara Islam yang kini sedang dalam keadaan terumbang-ambing.

Sang Tikus? Ia adalah saudara kita PALESTIN!


Ingatlah wahai kakkoiis sekalian. Ambillah iktibar di atas cerita di atas. Kerana kita semua ini merupakan 

BENANG DI DALAM ANYAMAN KAIN; PUTUSNYA SATU BENANG, KAIN ITU AKAN ROSAK NILAINYA.


Sama-sama kita renungkan.


6 Komen Dari Mereka Yg Kakkoii:

Siti Safiyyah on March 9, 2011 at 6:33 AM said...

gulp! ingatkan cerita biasa jek rupenye penuh dengan pengajaran..


psstt : Kata ustaz, tak baik buruk sangka kan? ^^

Kakkoii on March 9, 2011 at 6:42 AM said...

ss >> kalau cite pengajaran awal2, orng x bace kan? hehe

Unknown on March 9, 2011 at 7:38 AM said...

sungguh memberi pegajaran

Kakkoii on March 9, 2011 at 7:40 AM said...

^^ this is kakkoii's syle~

lalala~

combi on March 9, 2011 at 3:49 PM said...

noted!=)

Kakkoii on August 16, 2011 at 8:19 AM said...

combi >> ^^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Kakkoii-me Copyright © 2011